AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM . SELAMAT DATANG KE LAMAN BDIA SMKA WATANIAH 2010 . JIHAD FI SABILILLAH .

Friday, November 5, 2010

Apa itu Sunnatullah?



Allah SWT mencipta langit, bumi dan seluruh isinya termasuk manusia. Allah juga mewujudkan peraturan demi untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka bukan sahajadi dunia, bahkan juga di Akhirat, tempat tinggal terakhir buat manusia.

Peraturan atau syariat Allah yang berlaku di bumi tempat tinggal sementara manusia ini, itulah yang dikatakan sunnatullah.

Ia merupakan peraturan dan perjalanan yang Allah Taala telah tetapadi dan peraturkan untuk manusia.

Yang wajib kenalah manusia ikut dan patuhi. Jika manusia tidak patuhi dan menolak sunnatullah itu, pasti manusia rosak dan binasa. Rosak dan binasa itu pasti terjadi di dunia lagi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Apabila kita memperkatakan sunnatullah iaitu satu sistem dan peraturan yang ditentukan oleh Allah Taala buat manusia di dunia ini, ia tidak akan berubah dan tidak ada siapa yang boleh merubahnya sejak Allah Taala wujudkannya hinggalah sampai bila-bila.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah, engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan sunnatullah itu. (Fathir: 43)

Perlu diingat bahawa sunnatullah itu terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama:Manusia menerimanya secara terpaksa
Kedua: Manusia menerima secara sukarela

Firman Allah:

Maksudnya: "Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk menurut, sama adadengan sukarela atau dengan terpaksa." (Ar Ra'd: 15)

1. Secara terpaksa (karhan)
Sunnatullah yang pertama, manusia terpaksa menerimanya secara terpaksa (karhan).

Di antaranya seperti:
– Jika manusia ingin bernafas, Allah sudah tentukan dengan udara bukan dengan air dan lain-lain.
– Bernafas melalui hidung bukan melalui mata dan lainlainnya.
– Makan dan minum melalui mulut bukan melalui dubur dan lain-lain jalan.
– Berjalan menggunakan kaki bukan melalui tangan dan lain-lain.
– Kalau mahu rehat dan untuk memulihkan kesegaran kenalah tidur dan rehat, bukan melalui bermain atau panjat pokok dan lain-lain.

Begitulah keadaannya. Banyak contoh-contoh lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Kiaskan sahaja.

2. Secara sukarela (tau'an)
Sunnatullah yang kedua ialah Allah Taala membuat peraturan sebagai sunnatullah yang tidak akan diubahi seperti:

– Makan dan minumlah yang halal seperti nasi dan air mineral, jangan makan dan minum yang haram seperti daging babi dan arak.

– Inginkan perempuan kenalah berkahwin. Jangan berzina.

– Inginkan kaya, berusahalah secara halal seperti berniaga,bertani dan berternak. Jangan mencuri, jangan menipudan jangan rasuah.

– Jika inginkan keselamatan negara dan masyarakat, kenalah mengguna hukum Allah Taala yang berdasarkan AlQuran dan Sunnah.

– Kalau mahu kehidupan di bidang ekonomi berjalan sihat,tidak ada penipuan dan penindasan, tolaklah sistem riba,monopoli dan memperniagakan yang haram.

– Jika mahu kehidupan manusia seimbang agar terjamin kebahagiaan dan keharmonian, bangunkanlah kehidupanyang bersifat material dan juga pembangunan rohaniah.Demikianlah beberapa contoh. Terlalu banyak lagi. Kiaskan sahaja.

Kedua-dua sunnatullah itu sama ada yang bersifat terpaksa(karhan) mahupun bersifat sukarela atau pilihan (tau'an) atau ada usaha memilih untuk melaksanakannya, kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, pastilah manusia akan binasa di dunia ini sebelum binasa di Akhirat kelak. Sebab-sebab manusia menolak itu mungkin kerana manusia itu mahu buat peraturan sendiri sebab tidak puas hati dengan peraturan Tuhan itu. Maka mereka pun membuat sunnah sendiri.

Sunnatullah yang pertama, tidak ada manusia yang menentang atau menolaknya. Semua orang boleh menerimanya kerana dari pengalaman manusia, mereka boleh menerima dengan penuh suka dan puas hati. Tidak ada yang terasa berat menerimanya. Bahkan tidak ada yang merasa inferiority complex menerimanya. Semua menerimanya dengan berpuas hati dan senang hati. Tidak ada yang merasakan kolot, ketinggalan zaman,out of date. Tidak ada yang mengatakan, "Ia sudah ketinggalan zaman,semenjak Nabi Allah Adam lagi manusia bernafas dengan udara.Sudah terlalu lama, sudah kolot. Inikan zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, tidak sepatutnya kita bernafas dengan udara lagi. Patut kita bernafas dengan air. Patut kita ubah rasa." Tiada manusia yang mengatakan begitu.

Mengapa manusia boleh menerima bahkan berpuas hati dengan sunnatullah yang pertama iaitu yang bersifat karhan?

Mengapa tidak ada mempertikainya?

Mengapa tidak terasa kolot menggunakan peraturan yang sudah terlalu lama itu?

Manusia boleh menerimanya kerana kalau melanggar sunnatullah itu risikonya besar dan cepat sekali rosak binasa hingga boleh membawa mati. Bahkan sudah ramai yang mati disebabkan air. Cubalah bernafas dengan air! Bolehkah hidup? Bolehkah bernafas? Sudah tentu tidak boleh. Kalau diteruskan juga, masa itu juga binasa. Jadi oleh kerana kalau melanggar sunnatullah yang pertama,yang bersifat terpaksa itu (karhan), manusia akan cepat menerima risikonya, maka tidak adalah manusia yang melanggar sunnatullah yang pertama itu. Malahan manusia boleh patuh dengan puas hati. Di sini manusia merasa selamat menerima sunnatullah yang bersifat karhan.

Manusia berpuas hati menerima peraturan itu. Manusia mengakui siapa yang melanggar sunnatullah itu, mereka pasti rosak binasa. Ertinya mematuhi peraturan yang bersifat karhan itu, ia sangat menyelamatkan dan menguntungkan manusia. Bagaimanapun, manusia payah mahu menerima sunnatullah yang kedua iaitu yang bersifat sukarela (tau'an). Termasuklah sebahagian besar umat Islam di dunia, di akhir zaman ini. Allah Taala membenarkan manusia untuk memilih menerima atau menolak sunnatullah yang bersifat tau'an ini tetapi risikonya tetap ada bahkan lebih besar lagi. Sama ada yang akan berlaku di dunia, betapalah yang akan ditimpakan di Akhirat kelak. Umat Islam sendiri merasa malu untuk menerimanya, ragu melaksanakannya, takut tidak maju, takut huru-hara, malu dengan yang bukan Islam. Ia dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai lagi.

"Sekarang zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, bukan zaman unta."

Begitulah umat Islam sendiri dengan penuh angkuh dan sombong menolaknya.
Bahkan benci dan prejudis terhadap pejuang-pejuang yang hendak menegakkan sunnatullah kedua yang bersifat tau'an ini. Ramai manusia yang menolak, termasuklah sebahagian besar umat Islam, kerana apabila menolak sunnatullah yang kedua ini risikonya lambat. Kebinasaan dan kerosakan tidak terus berlaku di waktu itu. Ianya lambat berlaku. Adakalanya selepas sepuluh tahun, lima belas tahun atau dua puluh tahun. Sehinggakan apabila risiko dan kerosakan menimpa, di waktu itu mereka sudah tidak dapat kaitkan lagi ia dengan perlanggaran dan penolakan sunnatullah yang dilakukan sejak bertahun-tahun yang lalu.

Lantaran itu kalau ada orang atau golongan yang sedar, memberitahu kerosakan moral, jenayah, perpecahan dan lain-lain lagiy ang berlaku sekarang ini disebabkan kita sejak dahulu telah melanggar sunnatullah, mereka akan menolaknya. Bahkan marah dan bermusuh pula dengan orang itu. Mereka tidak boleh hendak mengaitkan gejala sosial yang berlaku, yang telah merosakkan masyarakat hari ini dengan kesalahan mereka menolak hukum atau sunnatullah itu.

Sebagai contoh, keruntuhan akhlak dan gejala tidak sihat yang berlaku di dalam masyarakat sekarang seperti bohsia,bohjan, budaya lepak, vandalisme, rompak, samun, rasuah, krisis rumah tangga dan sebagainya itu adalah akibat dari apa yang kita telah lakukan sejak puluhan tahun yang lalu. Ianya berlaku apabila sistem pendidikan tidak mengikut syariat Allah, sistem ekonomi berdasarkan kapitalisme, perlembagaan negara bertentangan dengan sunnatullah iaitu tidak mengikut Al Quran dan Hadis, masyarakat kita tidak dihalang daripada pergaulan bebas dan media massa yang tidak dikawal daripada memaparkan apa yang dilarang oleh Allah seperti mempamerkan gambar-gambar lucah yang merangsang nafsu.

Jadi, gejala sosial yang berlaku adalah buah dari pokok yang sudah lama kita tanam.Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa sunnatullah yang kedua ini yang bersifat tau'an, jangan dilanggar. Kalau dilanggar tetap memudarat dan merosakkan masyarakat manusia tetapi memakan masa yang panjang baru nampak risikonya.

Setelah lama barulah terlihat kesannya. Sama ada sunnatullah yang pertama mahupun yang kedua,yang bersifat karhan mahupun yang bersifat tau'an, kalau dilanggar juga kita akan binasa. Hidup kita akan huru-hara. Masyarakat kita akan pincang. Kebahagiaan kita akan tercabar dan keharmonian kita akan hilang. Cuma pelanggaran yang pertama cepat kebinasaannya tetapi pelanggaran yang kedua lambat. Itu sahaja bezanya.

Justeru itu kalau didapati di dalam masyarakat kita berbagai-bagai jenayah, kerosakan akhlak, krisis, bahkan bencana alam,rujuk cepatlah kepada Allah Taala. Jangan lengah-lengah lagi.Muhasabah diri dan sistem yang kita bangunkan. Ada atau tidak pelanggaran sunnatullah itu. Kalau didapati ada pelanggaran, kenalah perbetulkan. Tukar segera dengan sunnatullah, kemudian memohon ampun sebanyak-banyaknya kepada-Nya sebelum Allah Taala menimpakan balasan dan hukuman yang lebih berat dan teruk lagi.

Friday, October 22, 2010

Antara Sahabat , Cinta dan Rabb


Diam,
Sunyi, sepi,
Dalam kegelapan ku lihat tiada cahaya,
Menggapai angin malam yg sejuk dingin,
Aku keseorangan,
Menangis menitis airmata beku,
Bagai tiada siapa peduli,
Ku masih berteleku di situ,
Tapi tiada siapa.. kosong.

Diam,
Sunyi, sepi,
Tetap begitu,
Buta mata, buta hati,
Tiada senyuman terukir di bibir,
Tiada ilmu terpahat di dada,
Tiada sayang menerpa di jiwa,
Bagai jasad tiada rohnya,
Begitu aku,
Biar apa di nanti,
Siapaku untuk mentafsir.

Diam,
Sunyi, sepi,
Aku masih kaku,
Dalam diam,
Sayup-sayup namaku,
Dipanggil syahdu,
Hangat mula terasa di jari jemariku,
Lantas ku toleh,
Seluruh dekat ku terasa bernyawa,
Ku rentap sentuhan itu,
Setelah terpampang suatu wajah,
Seorang yang bergelar lelaki.

Diam,
Sunyi, sepi,
Tiada lagi,
Salam dihulur, persahabatan di minta,
Kusambut mesra,
Hariku berseri,
Hidupku bermakna,
Alhamdulillah kupanjat kesyukuran,
Anugerah seorang insan,
Bernama sahabat.

Diam,
Sunyi, sepi,
Tiada lagi,
Berteman sahabat,
Tanpa kusedari cinta terpatri,
Bermunajat ku pada Ilahi,
Apakah semua ini,
Setakat khayalan atau hakiki.

Diam,
Sunyi, sepi,
Menerjah kembali,
Kala aku berteleku kepada-Mu,
Meminta petunjuk,
Kepada suatu keputusan,
Kepastian menjelma,
Untukmu sahabat,
Maaf ku pinta,
Aku belum bersedia,
Pada cinta yg sementara cuma,
Cintaku kini hanya pada ya-Rabbi,
Penciptaku yang Esa,
Yang memberi anugerah,
Mengenal erti Cinta dan Sahabat,
Terima kasih Ya-Rabb.

Antara sahabat, cinta dan Rabb,
kecintaanku kini hanya Pada-Mu.

koreksi diri




Alhamdulillah atas nikmatMu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala membuatkan aku terlupa untuk mensyukuri nikmatMu.

Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita?

Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakah kita?

Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah.

Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah tersebut? Muhasabah.

Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18):

18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.

Jelas daripada ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita.

Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung budget dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa pula kita terlupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?

Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintahNya.

19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).

Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah.

Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya.

Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mukmin adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):

20. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).

Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi. Jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Salah satunya dalam rahmat dan satu lagi dalam kelaknatan.

Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah?

Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.

01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.

02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.

03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.

04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.

05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.

06.Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.

Sahabat-sahabatku, Marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah.

Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

wahai sahabat , janganlah bersedih !

Kepada semua sahabat-sahabat yang sedang diuji, yang telah diuji & yang belum diuji.. sedarilah bahawa jika anda tidak hidup hanya dalam batasan hari ini saja, maka akan celaru fikiran Anda, akan kacau semua urusan, dan akan semakin menggunung kesedihan dan kegundahan diri Anda.

01.Jangan Bersedih... Cinta Allah dan Rasulullah Menjamin Kebahagiaan

02.Jangan Bersedih... Redha Dengan Anugerah Allah Membuat Anda kaya di Dunia

03.Jangan Bersedih... Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmatnya yang Maha Luas

04.Jangan Bersedih... Semata-mata disebabkan Anda Berbeza dengan Orang lain kerana setiap kejadian Allah itu ada kelebihan tersendiri

05.Jangan Bersedih... Bila Disakiti, Dicela, Direndahkan atau Dizalimi kerana setiap perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha Esa

06.Jangan Bersedih... Sesungguhnya Setelah Kesusahan Akan Ada Kemudahan

07.Jangan Bersedih... Kerana Kesedihan Anda akan Membuat Musuh Anda Gembira

08.Jangan Bersedih... Atas Perilaku Manusia Terhadapmu Tetapi Perhatikanlah Perilaku Mereka Terhadap Allah

09.Jangan Bersedih... Allah Tidak Akan Mensia-siakan Pengorbananmu dan setiap perkara yang baik mahupun buruk ada hikmahnya

Wahai sahabat-sahabat, janganlah bersedih, Dunia ini terlalu hina untuk ditangisi

Thursday, October 21, 2010

bunga idaman !


Petang tadi terlihat kepadaku sekuntum bunga. Kelopaknya indah dan berwarna-warni. Aku cuba mendekatinya tapi niatku terbantut tatkala melihat duri-duri tajam di batangnya; pasti duri-duri itu akan melukai jemariku.

Aku cuba mencium baunya tetapi amat payah lantaran sukar memegangnya. Aku mengeluh sendiri mencari bunga cantik yang bisa kusentuh lalu kuterlihat kepada sekuntum bunga tidak jauh dariku.

Aku menghampiri bunga itu.

Ia nampak cantik dari jauh. Kulihat batangnya yang tidak berduri, lalu aku sentuh dan aku cuba menciumnya tapi tak lama kemudian aku lepaskannya.

Baunya cukup membuatkan aku loya lalu aku terdengar suara manusia lain dibelakangku; sepasang adam dan hawa sedang bermanjaan. Lagak mereka sungguh menjengkelkan.

Aku mengumpat di dalam hati; rasa marah bila hukum Tuhan tak diendahkan.

Tak lama kemudian si adam memarahi si hawa. Aku hanya melihat dari jauh seperti menonton drama di televisyen lalu si adam meninggalkan si hawa seorang diri. Dia membiarkan gadis manis itu menangis hiba.

Pada masa yang sama aku terpandang seorang hawa berpakaian serba sopan, sederhana gayanya. Dia berjalan tidak jauh dariku.

Pakaiannya labuh tidak meransang nafsu. Alangkah senang hatiku melihatnya. Dia berjalan sambil menundukkan pandangannya. Adam di sisi langsung tidak menegur bukan kerana benci tetapi tanda hormat.

Aku tersenyum sendiri teringatkan dua kuntum bunga yang baru tadi aku lihat.

Aku mula bermonolog..

Bunga yang berduri itu pasti susah didekati sang kumbang. Bunga yang busuk itu pasti sudah dihisap madunya oleh sang kumbang lalu kumbang itu meninggalkannya setelah puas madunya dihisap.

Aku melihat kembali ke arah dua hawa tadi lalu aku bingkas bangun.

Siapakah aku?

Aku tergolong dalam kelompok bunga yang mana?

Tiba-tiba aku menangis merenung diriku sendiri...

"Ya Allah! Jadikanlah aku bunga idaman para mujahid... bunga idaman agama! Aku mahu kelopakku indah tanpa sedikitpun kotoran. Jadikanlah aku wanita solehah, wanita mukminah!"

Moga diriku seperti Khadijah, Masyitah, Aisyah, Muthiah dan Ainul Mardiah! Aku ingin menjadi bunga idaman Islam.


singkap tragedi semalam


Sinar petang yang baru sahaja menampakkan wajahnya dek kerana hujan lebat dari tengahari tadi seakan-akan damai di rasa.

Namun suasana itu nyata gagal melenyapkan keresahan yang menghantui fikiran Umai.

Umai seorang gadis yang lincah pergerakannya nyata kecundang pada takdir Ilahi.

Dia bersama Dhia telah ditimpa kecelakaan pada hari sebelumnya.

"Bila nak pos motor ni? Esok dah nak balik.Aku risau la. Nanti lambat-lambat kalau ada aral macam mana?"kata Umai.

"Ya, esok pagi-pagi kita pergi. Nak risau apa pulak. Hish, kau ni! Ada-ada saja. Cuba la optimis sikit.''Dhia membalas.

Keesokan paginya.

"Assalamualaikum, Abang Rizal ada kerja tak pagi ni?" kedengaran suara Dhia ditelefon.

"Waalaikumussalam. Tak ada, kenapa?"balas Abang Rizal.

"Nak mintak tolong hantar pergi KTM la. Nak pos motor Umai"

"Ok, sekejap lagi abang sampai. "balas Rizal yang kemudiannya menamatkan perbualan telefon dengan Dhia.

Selepas sarapan nasi goreng dan air kopi, kami bertiga berangkat ke KTM.

Aku dengan Umai naik motor, Abang Rizal pula memandu Toyota Viosnya.

Jadi, apabila balik nanti kami balik dengan Abang Rizal la.

Cuti semester baru mula, aku pulak dah lama tak tunggang motor.

Macam-macam la Kak Ina pesan pada aku suruh berhati-hati semua. Aku pun hairan pada mulanya.

Tapi biasalah kakak mana tak sayang kan adik, biasalah tu pesan suruh bawa hati-hati.

Malang tak berbau

Tak sampai lima kilometer kami bergerak dari rumah Kak Ina dan sampai di traffic light di simpang tiga depan Petronas aku dan Umai dilanggar kereta.

Waktu tu aku ingat lagi lampu dari hujau tukar kuning.

Aku yang tunggang motor ala-ala speed santai ni tak berhajat nak kejar lampu tu tapi apakan daya orang yang bawa kereta Viva belakang kami berusaha kejar lampu kuning tu.

Akibatnya aku dan Umai melambung.

Keadaan jalan tiga lane area itu memberi kesempatan kepada Abang Rizal untuk berhenti di sebelah Viva malang tu.

Dah mcm tengok stunt dalam TV pula bila tengok adik dan kawan adik dia melambung impak dari momentum kuat dari Viva tu.

Dah macam pelanggaran berkesan dalam konsep fizik.

Objek satu berada dalam keadaan statik, manakala objek dua dalam keadaan bergerak.

Aku ke yang salah?

Alhamdulilah aku dengan Umai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bukan kata patah, darah setitik pun tak mengalir.

Aku bersyukur teramat sangat. Dalam hati,Allah sahaja yang tau.

Kaki mengigil sampai aku tak dapat berdiri.

Aku dan Umai duduk tepi jalan (atas divider).

"Dhia luka tak? Sakit tak ? Umai?!"cemas Abang Rizal bertanyakan keadaan kami sejurus menolak motor Honda Ex5 ketepi jalan.

Ke balai polis jugak akhirnya...

Usaha untuk mendapatkan ganti rugi akibat motor aku yang separuh hancur ni tak settle di balai tapi kat tepi jalan tu juga. Em... lepas la nak beli cover set yang pecah tu.

"Saya mau claim insurance lo." Beritahu bapa kepada pelanggar tadi.

"Kalau macam tu, kita settle di balai."tegas Abang Rizal.

Tak pasal-pasal Abg Rizal patah balik semula ke rumah, ambil Kak Ina dan minta bawa aku dan Umai pergi balai sementara Abang Rizal bawa motor.

Sampai di balai polis, pegawai yang bertanggungjawab berjumpa denganku dan Umai . Alhamdulilah, itulah perkataan yang keluar dari mulut pegawai itu. Dia bersyukur sebab aku dengan Umai tidak mengalami kecederaan.

"Saya bukan apa, kalau tengok dari keadaan kereta ni, saya tak pasti mangsa yang kena langgar tu hidup atau tidak. "komen Ispektor Kamal.

"Tak tau hidup ke tak?'' aku hairan.

"Tapi lepas saya nampak kamu jalan elok, syukurlah."tambahnya lagi.

Masa tu kira kali pertama la aku pegi buat laporan polis. Cuak juga la, mana taknya dengan kaki yang menggigil lagi. Allah saja yang tahu.

Alhamdulillah aku tak salah. Mata merit aku pun tak jatuh. Maklumlah Lesen P lagi. Kalau tak, masak juga la nanti.

Peristiwa tu dah berlaku kira-kira 2 tahun yang lalu.

Tapi ia masih segar dalam ingatan.

Betul lah cakap Kak Ina, tunggang motor ni, kita biasanya akan merasa sekali accident, sekali tayar pancit dan minyak habis.

Yang accident dengan tayar pancit tu dah merasa. Kalau diingat-ingat trauma pun ada, tapi apakan daya motor saja yang mampu dimiliki sekarang.

Mahu atau tidak, kena juga kikis trauma tu.


petua mencuci hati


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)

14. Berkawan dengan ulama'.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)