AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM . SELAMAT DATANG KE LAMAN BDIA SMKA WATANIAH 2010 . JIHAD FI SABILILLAH .
Showing posts with label kembara hidup. Show all posts
Showing posts with label kembara hidup. Show all posts

Friday, September 24, 2010

Memaafkan Untuk Syurga

salam 1 Malaysia . .

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia. Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi. Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.

Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan. Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."

Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk. Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.

Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.

Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."

Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."

Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Thursday, August 19, 2010

Cinta Yang Paling Agung

Hari ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke menara gading. Menitis air mata tatkala sebahagian impian dan cita-cita menjadi kenyataan... Keseronokan dalam menjalani minggu orientasi amat terasa walaupun kepenatan. Aku juga seronok dapat berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru dari luar. Merekalah sahabat yang menemani perjuangan dalam mencari ilmu dalam mengejar cita-cita...

Dalam mengejar cita-cita, aku sebagai muda remaja tidak lari dari perasan suka dan ingin disayangi oleh insan yang bergelar kekasih. Sungguh mengasyikkan sehingga aku lupa siapa diriku dengan Pencipta. Namun pelajaran tetap ku utamakan. Tanpa Rahmat-Nya pasti aku tidak berjaya. Sebagai manusia aku tidak lari dari membuat kesilapan. Satu persatu aku abaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Aku mulai keluar berpegang tangan dengan lelaki yang bukan muhrimku. Aku lebih suka berkawan dengan lelaki. Bagaikan satu kebanggaan bila duduk bersama mereka. Aku juga sudah pandai keluar tidak menutup aurat dan aku selalu menderhakai ibu bapaku. Aku selalu memandang rendah kepada bapaku dan selalu memuji kekasihku lebih baik dan bertanggungjawab.

Kini telah hampir 5 tahun aku meninggalkan kampus dan telah bekerja. Tetapi aku gagal dalam hidupku. Cintaku yang ku dambakan selama ini terkubur begitu sahaja kerana sikapku yang tidak jujur, malah segala kerjaya yang aku impikan juga musnah kerana tidak tertanggung derita ditinggalkan kekasih...





Benarlah firman Allah, segala dosa dengan ibu bapa pasti akan dibayar tunai di dunia tidak perlu menunggu di akhirat. Tatkala aku menderita kesedihan, aku bagaikan layang-layang terputus tali. Mak dan abah jua yang banyak membantuku dalam memulihkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Setelah setahun berlalu aku terkenang betapa besarnya pengorbanan mak dan abah.. Walau besar mana sekali kesalahan anaknya, mereka tetap memaafkan dan menerimaku malah banyak membantu aku untuk meneruskan kehidupan. Alhamdulillah aku bersyukur sangat di sebalik musibah ini, aku bertaubat dari segala dosaku yang lalu. Aku ingin menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Sungguh, tiada Cinta Yang Paling Agung melainkan cintaku kepada Allah dan Rasul. Tatkala aku melakukan kesilapan, Dia tetap merahmati hidupku dengan keampunan dan kasih sayang-Nya. Tetapi bekas kekasihku tidak mampu menerima kesilapan diriku malah meninggalkan aku. Aku tetap memaafkannya kerana manusia tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Hanya Allah Rabbula'alamin yang Maha Sempurna lagi Maha Pengampun.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku... Sungguh hina lagi kerdil diriku di sisi-Mu... Jadikanlah aku hamba-Mu yang selalu bertaubat... Dan jadikanlah aku anak yang solehah.. Amin...